Rabu, 1 September 2010

:: AKIBAT MENDUAKAN SUAMI ::

DALAM sebuah hadis Rasulullah s. a. w. bermaksud: "Jika seorang isteri menunaikan sembahyang lima waktu, puasa bulan Ramadan, menjaga kesucian dirinya (dari perbuatan tidak senonoh) dan taat kepada suaminya, ia akan masuk syurga melalui pintu mana saja yang dikehendakinya." Memang janji Allah, setiap yang berbuat dosa, balasannya diterima diakhirat kelak. Namun ada ketikanya terdapat juga dosa-dosa besar seperti berlaku curang terhadap suami, balasan seksanya sudah Allah tunjukkan di dunia lagi agar ianya menjadi iktibar kepada orang lain. 

Perkara ini diakui oleh seorang bidan kampung di selatan tanahair. Bidan tersebut telah menceritakan pengalamannya menyambut kelahiran anak yang dikatakan hasil hubungan sulit si isteri itu dengan bekas kekasihnya di luar pengetahuan suaminya. 

Bidan yang tidak mahu namanya disebut telah berpengalaman berpuluh tahun mengakui tragedi yang berlaku terhadap wanita berkenaan ketika melahirkan anaknya memang agak aneh dan luar biasa. 

"Makcik telah mengalami berbagai peristiwa ketika menyambut kelahiran, Ada wanita yang mudah melahirkan anak. Ada pula yang mengalami masalah susah beranak kerana bayinya berkedudukan songsang atau sebagainya. 

Tetapi Alhamdulillah, sejauh pengalaman makcik, mereka yang sukar melahirkan setelah diberi air jampi dan melakukan beberapa petua tertentu, wanita berkenaan akan mudah melahirkan anaknya," kata bidan tersebut. 

Wanita yang disebut sebagai Salmah oleh bidan berusia 30-an itu memang tidak dapat dilupakannya. 

"Dia mengalami kesakitan yang luar biasa seolah-olah ada sesuatu yang menghalang kelahiran bayinya. Hampir sejam dia bergolek-golek dan meronta-ronta menahan kesakitannya sambil meraung-raung dan merintih-rintih menyebut nama suaminya. 

Berbagai usaha dilakukan oleh bidan untuk membantu Salmah seperti memberi air jampi berendamkan daun sirih. Kesan-kesan untuk melahirkan sudah ada, air ketuban telah lama meleleh, namun bayinya tetap tersendat walaupun entah berapa kali Salmah mencuba menerannya. 

Apa yang menyayat hati, setiap kali Salmah berusaha meneran bayinya seluruh anggota tubuhnya menggigil, dan matanya terbelalak bagaikan menyaksikan sesuatu pemandangan yang mengerikan. 

Kira-kira 10 minit selepas meminum air jampi bidan, berlakulah peristiwa aneh, ngeri dan luar biasa itu. Dari saluran rahimnya meleleh tumpahan darah yang dalam beberapa saat kemudian darah itu memancut menyembur mengenai bidan itu yang sedang memeriksanya dan percikan darah itu memercik ke dinding klinik bersalin yang tidak luas itu. 

"Kejadian itu memang luar biasa. Pengalaman makciklah, wanita yang mengalami tumpah darah macam mana pun tidaklah sampai darahnya memancut sebegitu rupa. Selepas kejadian itu, makcik berfirasat ada sesuatu yang tidak kena pada wanita ini. 

"Makcik mengesyaki mungkin ada dosa-dosa tertentu pernah dilakukan oleh si isteri ini terhadap suaminya. Menurut hemat makcik, selagi wanita ini tidak mengakui dosanya dan mendapatkan keampunan suaminya, selagi itulah dia tidak dapat melahirkan anaknya," kenang semula bidan itu menceritakan kepada penulis. 

Seketika kemudian, bidan pun memanggil suami Salmah yang disebutnya sebagai Ustaz Azhar itu termasuk ke bilik bersalin menemui isterinya. Azhar kelihatan terharu menyaksikan penderitaan yang ditanggung oleh Salmah dan bercadang membawa Salmah untuk ke Hospital bersalin di bandar yang jauhnya kira-kira 20 km dari kampung itu. 

Tetapi itu adalah masa amat kritikal hagi Salmah. Jelas pada pengamatan Azhar dan mereka yang berada di situ, Salmah kini sedang berjuang antara hidup dan mati. 

Bidan pun membisikkan sesuatu ke telinga Salmah. Dan Salmah dalam keadaan tidak berupaya itu merangkul kedua tangan Azhar dan dengan suara yang terputus-putus mengakui perbuatan terkutuknya selama ini berzina beberapa kali dengan bekas kekasihnya. Hasil perzinaan itulah kehadiran bayi yang dikandungnya sekarang. 

Mendengar pengakuan isterinya, terasa gelap dunia ini dirasai oleh Azhar. Jika tidak kerana ada rasa simpatinya terhadap wanita yang pernah berkongsi hidup dengannya lebih 10 tahun itu yang kini sedang terbaring penuh azab, mahu sahaja Azhar lari meninggalkan tempat itu. 

Namun Tuhan mahu menunjukkan kebesaranNya melembutkan hati seorang suami. Sementara Salmah yang sedang azab itu kini pasrah dengan takdir Tuhan menghukumnya dan memohon keampunan daripada suaminya. 

Memang benarlah sebagaimana yang difirasatkan oleh bidan, selepas Azhar memaaf dan mengampunkan segala dosa-dosa Salmah, Salmah pun melahirkan anaknya dengan mudah dan segera disambut oleh bidan. 

Beberapa minit selepas melahirkan anaknya itu, Salmah pun menghembuskan nafas terakhirnya sementara Azhar tetap berada disampingnya dan sempat mengajarnya mengucapkan kalimah tauhid, "Laa Illaaha illallah" dan dengan mudah diikuti oleh gerak bibir Salmah ketika menghadapi nazaknya. 

Menurut cerita bidan itu kepada penulis, kejadian itu berlaku kira-kira lima belas tahun lalu. Anak lelaki yang dilahirkan oleh Salmah itu kini sudah berada di tingkatan tiga dan dipelihara oleh Azhar sebagai anaknya sendiri. 

Azhar selepas peristiwa tersebut beberapa tahun kemudian telah berkahwin lain dan dikurniakan dua orang anak. 

Menurut Bidan, apa yang mendorong Salmah berlaku curang terhadap suaminya kerana menuduh suaminya mandul. Sementara bekas kekasihnya (difahamkan kini masih lagi hidup) mengambil kesempatan dari keadaan rumahtangga Salmah yang tidak bahagia itu kerana tidak dikurniakan anak. 

"Makcik mendoakan semoga Tuhan mengampunkan dosa Salmah dan azabnya menghadapi kematian itu sebagai kifarat kepada dosanya itu. Harap kisah ini ada iktibar dan manfaatnya kepada semua," ujar bidan tersebut mengakhiri perbualannya dengan penulis

5 ulasan:

Afiq Din berkata...

moga dijauhkan dri perkara2 buruk....

FyZa berkata...

mintak djuahkan kita suma dr benda2 mcm nie..takutnya

Mr feckry berkata...

inalillah

AngahSayang2314 berkata...

salam...

memang pun kita kalau nak bersalin kena minta maaf ngan suami seolah2 macam nak meninggalkannya....

Lizzie Yasmin berkata...

Ya Allah smpai begitu sekali... moga jd iktibar pada kita semua...

Beautilicous

Suka blog ini? LIKE lah~ thanks

Related Posts with Thumbnails

:)